Pages

Saturday 21 September 2013

Tokoh Kemerdekaan

Haji Abdul Rahman Limbong



Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid bin Haji Abdul Kadir juga dikenali sebagai Tok Limbong atau Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau dikenali ramai dari kalangan masyarakat negeri Terengganu. Kerana beliau adalah salah seorang daripada nama besar sejarah Terengganu. Dilahirkan di Kampung Jenguk Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu pada tahun 1285H atau 1868M dan meninggal dunia di Mekah, pada tahun 1347H atau 1929M. Keturunannya dikatakan berasal dari Patani dan Terengganu.

Pada permulaan pelajarannya adalah dengan pendidikan agama. Hal ini demikian kerana, beliau dilahirkan dari keluarga yang mementingkan agama. Pada zaman kanak-kanak lagi dia diasuh dengan agama oleh ibu bapanya. Menurut sumber yang diperolehi, beliau telah bersama-sama dengan bapa saudaranya iaitu Haji Tun Mohammad Zain pergi ke Makkah untuk mempelajari ilmu agama. Setelah lama di Makkah, umurnya telah dewasa dan beliau pulang ke kampong halaman di Terengganu. Pada masa itu, beliau adalah seorang yang dahagakan ilmu agama. Oleh sebab itu, semasa berada di Terengganu, beliau tidak jemu untuk mencari Tok Guru agama untuk mempelajari ilmu agama. Antara ilmu yang dia dapat adalah ilmu feqah, nahu, saraf dan sebagainya. Kira-kira dua bulan sahaja beliau dapat menguasai pelajaran tersebut. Antara guru-guru beliau menuntut ialah Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris. Kelebihan yang dimiliki olehnya tidak dapat disangkal dengan kecerdasan akal fikiran apabila berhujah atau sebagainya. Ada sumber mengatakan beliau adalah seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Walaubagaimanapun, beliau mengatahui segala selok-belok hal-hal keduniaan. Contohnya, beliau telah membela ramai rakyat dalam mahkamah semasa dijajah oleh British.

Seterusnya, dalam pengembaraan beliau tentang pelayaran yang menggunakan kapal buatan Terengganu yang dikenali sebagai Perahu Besar. Pelayaran beliau ke Sambas dan Kepulauan Riau. Perahu ini boleh menampung seberat 100 hingga 150 tan. Antara tempat-tempat yang dihuni oleh orang-orang Terengganu di Kepulauan Riau seperti Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun di Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang Terengganu dan kekal hingga sekarang.

Sifat yang disegani oleh Haji Abdul Rahman Limbong adalah sifat waraknya pada Allah s.w.t. Beliau memperhalusi setiap perbuatan dan percakapan. Beliau mengetahui segala hukum-hukum agama dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pemimpin. Bagi siapa yang bersama-sama beliau pada masa itu akan mengetahui beliau tidak pernah singgah atau makan dan minum di kedai. Hal ini demikian kerana, dengan sendirinya akan menjatuhkan kewibawaan seorang pemimpin. Kebiasaan kedai-kedai menjual makanan ada unsur yang berkaitan dengan perkara mungkar.

Sebagai seorang pemimpin agama, beliau sangat mementingkan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat dan memperjuangkan hak-hak rakyat. Hal yang paling penting bagi membangunkan kehidupan rakyat, beliau sangat menitikberatkan undang-undang Allah, iaitu Syariat yang telah di aturkan sejak dahulu lagi dan perlu dipertahankan dimuka bumi ini.

Haji Abdul Rahman Limbong memang sentiasa mengenakan pakaian yang melambangkan ciri-ciri keIslaman. Oleh kerana itu, beliau sentiasa memakai baju Melayu atau jubah putih serta memakai serban. Ke mana-mana pun beliau sentiasa memakai terompah yang diperbuat sendiri atau pun dibeli dari orang lain. Kewarakkan beliau nampak jelas dengan sikap beliau yang tidak suka sama sekali memakai kasut yang diperbuat di kedai apatah lagi yang diperbuat oleh orang kafir. Lebih hebat lagi, apabila beliau berjalan melalui perkampungan orang-orang kafir, beliau akan menyamak kaki beliau.

Antara kelebihan Haji Abdul Rahman Limbong ialah mempunyai karamah. karamah yang dimiliki beliau adalah dapat menghilangkan diri sekelip mata. Perkara ini dapat dilihat apabila anak murid Tok Ku Paloh mengekori beliau untuk mengetahui sebab kenapa beliau sangat disayangi oleh Tokku Paloh. Sedang mereka mengekori beliau, secara tiba-tiba beliau hilang dari pandangan. Ini adalah salah satu karamah yang dimiliki oleh Haji Abdul Rahman Limbong.Selain itu juga, pada satu hari seorang telah memberi pinjam duit kepada beliau. Pada masa yang sama isteri kepada pemberi pinjam telah memarahi suaminya kerana terlalu lurus untuk memberi pinjam duit sesuka hati kepada orang lain. Pada keesokkan harinya, Haji Abdul Rahman Limbong telah memulangkan balik duit yang dipinjam, kerana dia tidak mahu meminjam duit daripada orang yang tidak ikhlas. Hal ini demikian kerana, beliau tahu orang yang memberi pinjam padanya tidak ikhlas walaupun isteri orang yang memberi pinjam tidak merungut didepan beliau.

Selain itu, sejarah kemerdekaan yang berlaku terhadap beliau pada masa itu adalah semasa penentangan 21 Mei 1928. Penentangan rakyat Terengganu terhadap pihak penjajah. Kebangkitan rakyat Terengganu telah belakunya tragedy berdarah apabila pekumpulan dan kemaraan pihak Patani telah ditentang oleh pihak kerajaan di Ulu Telemong. Disebabkan perkara tersebut Haji Abdul Rahman Limbong telah dpersalahkan Menyebabkan berlakunya penentangan terhadap pihak penjajah. Untuk meredakan suasana yang berlaku pada masa itu, beliau telah menyerah di Istana Maziah Terengganu. Dalam tahanan tersebut, beliau menafikan tuduhan tersebut. Pada masa itu tiada siapapun yang berani mendekati beliau. Semasa pertuduhan tersebut, beliau dihadapkan perbicaraan. Dan ditempatkan disebuah padang yang diperhati oleh pegawai-pegawai British. Semasa perbicaraan berjalan, beliau berterusan solat kerana pada masa itu kerusi yang beliau duduk betul-betul menghadap kiblat.

Akhirnya, perbicaraan tersebut mendapat persetujuan dimana Haji Abdul Rahman Limbong dibuang ke Makkah. Ada yang mengatakan beliau dibuang ke negara China. Tetapi beliau sendiri yang berhajat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup di Makkah. Walaubagaimanapun, semasa berada di makkah, beliau tetap mengajar ilmu-ilmu agama kepada pelajar di makkah. Sebilangan anak muridnya berjumpa di Makkah semasa menunaikan Haji. Beliau telah menghabiskan sisa-sisa hidup di Makkah dengan mengajar dan mendalami ilmu agama dengan penuh tawadu' pada Allah s.w.t.

Setelah sekian lama beliau berkhidmat mengajar berbagai pengetahuan tentang agama di Makkah, maka beliau pun dijemput oleh Allah SWT untuk mangadapNya. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 1348 (1929) kerana menghidap penyakit di dalam perut. Dengan itu, berakhirlah perjuangan seorang ulama yang berpengaruh serta pengajarannya cukup ketara di dalam kehidupan masyarakat Islam Terengganu sehinggalah ke hari ini.

Secara tuntasnya, tokoh yang sangat dikenali telah lahir di Terengganu yang telah banyak mengajarkan ilmu-ilmu akhirat. Lahirnya seorang tokoh yang mementingkan agama sebagai landasan yang paling agung bagi mengukuhkan agama Islam bertapak sehingga akhirat dimuka bumi Allah S.W.T. perjuangan yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong perlu dicontohi oleh masyarakat pada zaman sekarang.

(1128 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment