Pages

Sunday 2 December 2012


::Anak Pucat Ajak Balik Ternampak Saudara Tergantung::




Orang ramai mengemuruni kawasan rumah arwah untuk melihat situasi sebenar sejurus berita penemuan mayat arwah tersebar dalam satu kejadian di Kampung Kubang Tangga, di sini, semalam

'Muka pucat, anak ajak balik'

KUALA TERENGGANU - “Dalam keadaan panik, anak bongsu saya mengajak kami balik dan meninggalkan rumah itu segera.

“Bagaimanapun, saya yang curiga dengan gelagat itu, terus masuk ke dapur sebelum ternampak anak saudara saya itu dalam keadaan tergantung tidak bernyawa,” demikian cerita seorang wanita, 49.

Wanita terbabit merupakan ibu saudara kepada seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan tergantung di bahagian dapur di rumahnya di Kampung Kubang Tangga, di sini, petang semalam.

Menceritakan detik kejadian, wanita itu berkata, dia pergi ke rumah arwah bersama anak bongsunya, berusia 11 tahun, kira-kira jam 1.45 petang untuk memulangkan semula ketuhar yang dipinjam sebelum ini.

“Setibanya di rumah itu, anak bongsu saya masuk dulu ke dalam rumah kerana panggilan kami sebelum itu tidak berjawab.

“Namun tidak lama kemudian, dia keluar dalam keadaan panik dan pucat mengajak saya segera meninggalkan rumah itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, arwah, 32, merupakan seorang duda kepada dua anak dan tinggal di rumah bersama keluarganya.

“Bagaimanapun, saya difahamkan semasa kejadian arwah yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik itu tinggal bersendirian, manakala ibu dan anak sulung arwah berusia lima tahun pergi ke rumah saudara mereka di Kedah,” katanya.

Sementara itu, adik lelaki arwah berusia 18 tahun, berkata, dia tidak menyangka perubahan arwah yang menjadi ramah dan menegurnya pada Khamis lalu adalah petanda dia akan meninggalkan mereka sekeluarga selama-lamanya.

“Saya jarang pulang ke rumah kerana bekerja di sebuah kedai tayar di Ajil dan hanya pulang seminggu sekali. Namun, ketika berjumpa dengannya Khamis lalu, arwah tiba-tiba menegur saya sedangkan sebelum ini, kami jarang berbual,” katanya yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki itu.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk di bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sinar Hariann 3 Dis 2012